Sebelah siang sehinggalah jam 9 malam, saya seorang wartawan. Dan selepas itu, sehinggalah mata ini ingin lelap, saya suka menggunakan waktu yang ada dengan mereka laman web - ya, laman web yang seperti ini. Ia lebih merupakan minat, seperti juga dengan bidang penulisan. Saya suka dengan pekerjaan begini.

Disamping menulis cerita dan mereka laman web, saya juga suka menjahit, melukis dan berbagai-bagai lagi. Andai kata saya diberikan tukul, kayu, gergaji dan paku, sudah pasti hari ini akan berlalu dengan penciptaan sebuah rak buku atau rak ramuan-ramuan yang ada di dapur. Saya amat-amat suka mencipta sesuatu.

Saya menjadi wartawan kerana minat. Mungkin kerana waktu saya membesar, terlalu banyak wayang-wayang yang meng-glamorise-kan kewartawanan. Bayangkan -- Superman bila jadi Clark Kent hanya seorang wartawan. Begitu juga dengan Spiderman dimana Peter Parker seorang tukang gambar sebuah rumah pencetakan akhbar. Apabila seorang terdedah dengan cerita-cerita demikian, karier pilihan sudah pasti tidak lari dari ingin bekerja di akhbar sebagai penulis. Itulah cerita saya dan bagaimana saya menghabiskan hampir separuh dari hidup saya sebagai wartawan.

Bagaimana dengan laman web?

Ya. Sudah lama saya berjerumus dalam bidang laman web ini. Malah, ketika waktu belum ada yang dipanggil pendrive atau cd drive, saya sudah meminati lapangan pengkomputeran. Saya masih ingat lagi pada satu ketika yang berpuluh tahun dahulu, saya katakan kepada bapa saya bahawa bidang komputer akan menyenangkan kehidupan manusia suatu masa nanti. Memang benar ia menyenangkan hidup manusia, tapi manusia perlu cabaran untuk betul-betul menikmati erti hidup.

Mencipta laman web adalah satu cabaran kepada saya. Tiap kali saya berdepan dengan tema laman web yang baru, saya terpaksa menghabiskan lebih dari satu minggu membaca dokumentasi tentang cara jalan laman web itu. Kadangkala ia sangat senang, tapi selalunya, masalah akan timbul satu-persatu. Maka, sekiranya ada sesiapa yang berani mengatakan mereka laman web itu mudah, ia mungkin kerana mereka belum berdepan kesusahan. Tiada yang mudah, tapi tiada yang mustahil juga, kecuali si pembuat koding betul-betul hopeless dan tidak teratur.

Mengenai laman web ini?

Laman web ini, Sabahportal.com sudah lama saya miliki. Cuma idea untuk intinya tidak datang serta-merta. Ketika ini, ia berfungsi sebagai laman berita, tapi siapa tahu, esok hari, ia akan berkembang menjadi laman berita serta lain-lain fungsi lagi.Hanya tuhan yang tahu.