
Lepasan Diploma Perakaunan, Fenelyne Juilin, merupakan seorang dari peserta pertandingan Unduk Ngadau kita pada tahun ini.
Menurut Fenelyne, dia mengikuti pertandingan Unduk Ngadau peringkat Putatan untuk mengekalkan semangat kaamatan @ Huminodun. Tambahan lagi tidak dapat pulang ke Lahad Datu akibat daripada pengistiharaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang disebabkan oleh penularan Covid-19.
Katanya, dia mula bekerja di sebuah syarikat audit swasta di Kota Kinabalu selepas selesai pendidikan Diploma dalam jurusan akauntan di politeknik tempatan.
"Banyak syarikat terpaksa menutup perniagaan mereka kerana pandemik dan PKP. Ada juga yang terpaksa menggurangkan jumlah pekerja."
Untuk kelangsungan hidupnya di Kota Kinabalu, Fenelyne mula berjinak-jinak dalam bidang penjualan barangan Coway, sebuah syarikat yang bermula dari Korea Selatan dan kini beroperasi di seluruh dunia. Antara produk Coway yang popular adalah alat-alat penapis air dan udaranya.
"Sekarang ini saya bekerja sebagai Health Planner (Perancang Kesihatan) Coway (Malaysia) Sdn Bhd," katanya.
Tugasnya sekarang berlainan dengan tugas lamanya sebagai akauntan dan juru audit, lebih-lebih lagi dengan cara kerja norma baharu yang telah diwar-warkan sejak bermulanya pandemik Covid-19 dan PKP ini dari tahun lepas lagi.
"Kami terpaksa bekerja dalam alam maya, iaitu lebih kepada mengadakan 'online meeting', dan bekerja dari rumah atau 'work-from-home'. Bagi saya, ada baiknya kerja dari rumah sebab ia boleh menolong menggurangkan penularan Covid-19 ini. Lagipun, kita tidak perlu tergesa-gesa untuk pergi ke tempat kerja dan ianya juga lebih fleksibel.
Tapi bekerja dari rumah ini juga mempunyai 'downside' atau kelemahannya tersendiri.
"Sebagai contoh, untuk bekerja dari rumah secara efektif, kita perlukan internet berkelajuan tinggi.
"Bekerja dari rumah juga menggurangkan peluang untuk komunikasi dua hala. Dan satu lagi kelemahannya adalah banyak gangguan kerja apabila seseorang itu bekerja dari rumah."
Aspirasi Fenelyne untuk masa depannya adalah untuk memulakan satu perniagaan di seluruh dunia.
Apakah perniagaan tersebut? Anda akan ketahui di segmen ke-dua perbualan dengan peserta Unduk Ngadau kawasan Putatan ini nanti.