Seorang pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang menyertai pertandingan Unduk Ngadau bertekad untuk lebih mendalami dan menambah pengetahuannya dalam bahasa Kadazan, iaitu bahasa ibundanya.
Maya Hejnowska, 20, memang petah dan lancar berbahasa dalam bahasa Kadazan kerana inilah bahasa utama yang digunakan dalam percakapan harian ketika bersama keluarganya. Tetapi, disebabkan warna kulitnya yang putih dan matanya yang hijau, ramai yang tidak menyangka dia boleh berbahasa Kadazan. Malah, setiap ahli keluarganya lancar berbahasa Kadazan. Si abang bermata biru dan si adik bermata coklat cair selalu berbicara dalam bahasa Kadazan ketika bersama-sama.

Terdapat juga ketika yang begitu mencuit hati mereka. Contohnya, pada suatu ketika, seorang wanita Kadazan begitu asyik mendengar mereka sekeluarga bercerita. Akhirnya, wanita tersebut mendekati mereka dan bertanya “bahasa German ka tu? Kanapa macam Kadazan tu?”
Namun, disebalik kelancarannya bertutur dalam bahasa Kadazan, Maya berpendapat masih banyak ayat-ayat yang asing kepadanya.
Oleh sebab itu, dia bertekad untuk lebih mendalami penguasaannya di dalam bahasa Kadazan.
Baru-baru ini, Maya telah membeli senaskah kamus bahasa Kadazan untuk memperbaiki lagi penguasaannya di dalam bahasa Kadazan. Setelah menelaah kandungan kamus ini sejak beberapa hari, dia sudah boleh menyusun kata-kata dalam bahasa Kadazan dengan menggunakan ayat-ayat yang sudah jarang digunakan oleh kalangan orang Kadazan pada waktu ini.
Ayat-ayat seperti ‘nopunsoh’ iaitu hancur atau mati, sebagai contoh, jarang digunakan umum. Begitu juga dengan ayat ‘misoomo’ atau ‘kopisoomo’ yang bermaksud ‘berrjumpa’ dan ‘akan berjumpa’.
Menurut Maya, mempelajari bahasa Kadazan akan memastikan bahasa ibundanya akan kekal selama-lamanya. Sesuatu bahasa itu juga penting sebab ia merupakan gambaran terhadap sesebuah bangsa.
Bak kata pepatah ‘ Hilang bahasa, hilang bangsa’ atau dalam bahasa Kadazan “opunsoh nopo boos nga opunsoh nogi tuhun dotokou.”
Leave a Reply