Umno "Tatap" Relevan Selepas 30 Tahun Bertapak di Sabah

Oleh: Jaafar Abd Wahid

Jaafar Abd Wahid

Jaafar Abd Wahid

Tanggal 21 Febuari ini genaplah 30 tahun Umno bertapak di Sabah. Bagi memperingati tarikh keramat itu, satu sambutan khas akan diadakan iaitu minggu Ulang Tahun Umno Sabah yang ke-30. Bagaimanapun, ianya dibuat sehari lebih awal iaitu hari Sabtu dengan acara sambutan yang sederhana mengikut SOP yang ditetapkan dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bakal dikuatkuasakan.

Walaupun sambutan agak sederhana namun ianya amat bermakna untuk seluruh ahli Umno yang kini dianggarkan melebihi 600 ribu orang di Sabah.

Tidak seperti di peringkat awal Umno melebarkan sayapnya ke Sabah, parti itu kurang berhadapan dengan cabaran getir seperti yang dialami selepas Pilihanraya Umum ke-14 apabila kerajaan Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi Umno terlepas kuasa di tangan gabungan Warisan Plus.

Diawal penubuhan Umno di Sabah perubahan bukan lagi satu pilihan tetapi merupakan satu tuntutan, kerana rakyat di negeri ini insaf bahawa ketidakstabilan dan perpecahan tidak menguntungkan sesiapa pun. Kesedaran inilah yang mendorong rakyat Sabah bersatu menyokong UMNO yang dilihat sebagai harapan baharu menjadi wahana penyatuan rakyat Sabah, sebagaimana ia berupaya menyatukan sebahagian besar masyarakat Melayu dan diterima oleh kaum-kaum lain melalui perkongsian kuasa dalam BN dengan harapan agar melalui kesatuan rakyat itu, akan wujud kestabilan politik di Sabah dan membuka jalan untuk pembangunan pesat negeri ini dalam semua aspek.

Gambar Hiasan

Keadaan ini berubah selepas BN terlepas kuasa memerintah ditangan Warisan dan Pakatan Harapan di Sabah yang disokong oleh beberapa orang pemimpin dari kalangan pemimpin BN sebelum ini yang memilih untuk bergabung dengan Warisan Plus bagi membentuk kerajaan negeri selepas PRU14 . Umno Sabah semakin tertekan apabila beberapa pemimpin Umno di Semenajung menyertai parti Primbumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan sindrom tersebut telah menular ke Sabah.

Selepas peristiwa ini Umno Sabah berhadapan dengan pelbagai krisis dugaan,cabaran dan rintangan namun perjuangan parti itu tetap diteruskan meskipun ramai pemimpin-pemimpin kanan Umno Sabah pada ketika itu telah "berhijrah" ke Bersatu.

Berikutan itu, Ahli majlis tertinggi Umno Dato’Sri Bung Moktar Radin (gambar) telah diberikan amanah serta kepercayaan oleh Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk mengetuai Umno Sabah (sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah) dengan sokongan beberapa rakan yang masih setia dalam perjuangan. Bung dan rakan-rakan lain terpaksa menghadam ujian getir untuk memberikan nafas baharu kepada Umno Sabah bergerak dalam susana yang dipenuhi dengan krisis ,cabaran dan dugaan yang akhirnya melalui pengalaman itu telah menyuntik semangat mereka untuk terus bergerak ke hadapan walau dalam keadaan sukar ketika itu.

Menurut Bung “UMNO Sabah telah melalui pelbagai krisis, dugaan, cabaran, rintangan dan juga halangan lebih-lebih lagi UMNO Sabah (pemimpin negeri) dan juga parti BN turut meninggalkan UMNO selepas mengalami nasib malang PRU14.
“Yang amat menyedihkan apabila 22 orang pemimpin-pemimpin UMNO telah meninggalkan parti ini termasuk Ketua-ketua UMNO bahagian, Timbalan Ketua UMNO bahagian serta juga Wanita dan Pemuda turut meninggalkan parti itu.

“Ketika itu UMNO Sabah telah dianggap sudah tidak wujud dan saya telah diberi amanah oleh Yang Berhormat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk memimpin UMNO Sabah,” kata Bung ketika diminta mengulas memori silam sempena sambutan 30 tahun Umno di Sabah.

Menurut Bung dalam kesukaran bersama rakan-rakan termasuk kepimpinan di seluruh bahagian yang masih berperinsip dan setia dalam perjuangan penyusunan dibuat semula hampir di seluruh bahagian Umno di Sabah.

“Bersama rakan-rakan, saya terpaksa turun padang menjelajah ke seluruh bahagian Umno di Sabah dan dari penerangan ,perjumpaan demi perjumpaan tersebut saya berkeyakinan, akar umbi UMNO Sabah tetap setia walaupun ramai pemimpin melompat parti.

“Jangkaan saya tidak salah yang melompat adalah pemimpin tetapi ahli-ahli UMNO tetap terus bersama UMNO” katanya

Bung mengakui berbekalkan sedikit ilmu dan kepakaran berpolitik, beliau berusaha turun ke bawah untuk memastikan ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi masih bersama-sama dengan parti itu dan realitinya "tidak ada satu bahagian Umno di Sabah dibubarkan".

Dibawah kepimpinan Bung sebagai Ketua Umno Sabah cabaran demi cabaran telah dilalui dan ditempuhi dengan kecekalan disertai dengan prinsip perjuangan yang jitu.

Ujian pertama Bung sebagai nahkoda Umno Sabah ialah pilihanraya Kecil Parlimen Kimanis apabila Mahkamah Pilihanraya Kota Kinabalu pada 16 Ogos 2019 memutuskan kemenangan Datuk Seri Anifah Aman dikerusi Parlimen Kimanis pada PRU-14 sebagai tidak sah dan terbatal.
Umno Sabah telah meletakan Ketua Umno bahagian Kimanis Datuk Mohamad Alamin yang dicabar oleh Ketua Bahagian Warisan Kimanis Datuk Karim Bujang dalam perlawan satu lawan satu dalam PRK Parlimen Kimanis.

Bagi Bung yang juga menjadi pengarah gerakan, PRK Parlimen Kimanis itu merupakan satu ujian yang amat mencabar bagi dirinya bagi memastikqn Mohamad Alamin menang PRK Kimanis.
“UMNO Sabah telah meletakkan sasaran dan hala tuju, namun cabaran yang paling genting ialah waktu membuat keputusan untuk bertanding di PRK Kimanis. Itulah cabaran terbesar dan pada ketika itu tidak ada satu pun pemimpin-pemimpin UMNO yang menyatakan bahawa UMNO Sabah akan menang” katanya.

PRK Parlimen Kimanis yang lebih dikenali Sebagai “ Langkah Kimanis” merupakan ujian pertama tentang penerimaan rakyat Sabah, terutama pengundi Kimanis terhadap BN dan Umno. Andai kata BN/UMNO gagal memenagi PRK tersebut ianya merupakan satu petunjuk prestasi sokongan rakyat kepada BN/UMNO semakin merundum.

“Perjuangan perlu ada keyakinan dan kepercayaan. Saya tahu kita berjuang di bawah berbanding dengan Warisan yang menjadi sebuah kerajaan negeri yang mempunyai bantuan kewangan yang kukuh.

“UMNO Sabah berjaya menyakinkan rakyat kebetulan Warisan Plus tidak menepati inspirasi dan keyakinan rakyat. Jadi ia adalah peluang terbesar yang ada untuk menumbangkan mereka di Kimanis,” tegas Bung.

Jumlah undi yang diperoleh Mohamad Alamin menewaskan Karim Bujang dengan majoriti 2,029 undi agak besar berbanding majoriti yang diperoleh oleh calon BN PRU14 Anifah Aman iaitu 156 undi, menunjukkan pertambahan 1,873 undi.

Kejayaan Umno/BN di PRK Parlimen Kimanis bukan sahaja kejayaan manis bagi Umno tetapi juga merupakan syarat pertama bagi UMNO lulus untuk meneruskan perjuangan dan sekaligus menafikan presepsi UMNO dan BN di Sabah sebelum ini najak, sebaliknya UMNO semakin hari semakin pulih dan kuat yang menyaksikan semangat ini telah diterjemahkan kepada kemenangan dalam PRN ke-16 pada 26 Sept tahun lepas.

PRN ke-16 diadakan Selepas Ketua Menteri ketika itu Datuk Seri Mohd Shafie Apdal membubarkan DUN Sabah selepas bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman mendakwa telah memperolehi cukup majoriti untuk membentuk kerajaan baharu.

Bagi Umno dan Bung sendiri sebagai Pengerusi BN Sabah, PRN tahun lepas merupakan ujian yang lebih besar ruang lingkupnya kerana melibatkan 73 DUN Sabah dengan wujudnya persempadan baharu.

PRN ini juga telah menzahirkan secara keseluruhan sokongan rakyat Sabah kepada BN khususnya bagi kerusi yang ditandingi oleh Umno. Daripada 73 DUN Sabah, Umno bertanding di 31 buah DUN dan dari jumlah tersebut UMNO/BN memenangi 14 kerusi.

Walaupun BN/Umno boleh memenangi lebih dari 14 kerusi pada PRN itu, namun beberapa faktor dilihat menjadi halangan antaranya pertembungan sesama sendiri dan pemilihan calon yang tidak memenuhi keteria sebagaimana yang diinginkan oleh rakyat di peringkat akar umbi menyebabkan sasaran Umno untuk memenangi keseluruan kerusi yang ditandingi gagal direalisasikan.

Menurut Bung walaupun kejayaan ini agak kecil namun ianya merupakan petunjuk positif yang BN/Umno masih diterima oleh rakyat Sabah sekali gus kejayaan tersebut merupakan penyumbang utama kepada pembentukan kerajaan negeri yang baharu di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS)

"Keputusan PRN kali ini telah menjadi satu lonjakan besar dalam keberdayaan GRS untuk menguasai politik Sabah sehingga kami dapat membentuk kerajaan negeri yang baharu” katanya .

Sambil melahirkan rasa syukur dan gembira kerana berkesempatan melihat kesan ketara kehadiran UMNO di Sabah, Bung yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata kekuatan BN/UMNO di Sabah disebabkan dukungan rakyat serta kesepaduan anggotanya yang didasari semangat juang padu.

Mengenai masa depan UMNO Sabah agar terus kukuh dan relevan, Bung menegaskan bahawa UMNO tidak boleh bergantung kepada jumlah kuantiti anggotanya semata-mata bahkan sama penting adalah nilai dan kualiti setiap anggota-anggota UMNO di semua peringkat – cawangan, bahagian dan sayap-sayap parti perlu diperkasakan.

Justeru Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, sempana sambutan 30 tahun Umno melebarkan sayapnya ke negeri ini, beliau mengingatkan kepimpinan dan anggota parti agar sentiasa berada di atas landasan perjuangan parti yang berpaksikan kepentingan rakyat.

“Hala tuju kita perlu berpaksikan kepada landasan yang tepat iaitu gerak kerja yang berpaksikan kepentingan rakyat. Destinasi kita adalah rakyat kerana kekuatan dan prestasi kita akhirnya ditentukan dan dinilai melalui tahap sokongan rakyat dalam pilihan raya. Jangan lari daripada landasan,” katanya.

Penulis adalah Setiausaha Akhbar kepada
Timbalan Ketua Menteri /Menteri Kerja Raya Sabah/ Merangkap Ketua Umno Sabah

Leave a reply

Share via
Copy link
Powered by Social Snap