Gambar gimik: Jahid menyampaikan kunci kenderaan

Tidak mahu anak-anak tercicir pelajaran - kementerian serah 2 van

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menitik beratkan pendidikan anak-anak keluarga kurang berkemampuan di kawasan luar bandar agar tidak tercicir dalam menimba ilmu.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, berkata, kerajaan negeri Sabah menerusi Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah mengambil berat tentang pendidikan dan kebajikan anak-anak Sabah terutama golongan kurang berkemampuan bagi memastikan mereka mendapat pendidikan sempurna.

Gambar gimik: Jahid menyampaikan kunci kenderaan

Gambar gimik: Jahid menyampaikan kunci kenderaan

"Setiap anak-anak berhak untuk mendapat pendidikan, justeru, kita telah merancang pelbagai cara untuk meningkatkan taraf hidup rakyat luar bandar yang memerlukan pembelaan," katanya.
Beliau yang juga Wakil Rakyat Tamparuli, berkata, atas sebab itulah dan menyedari betapa pentingnya pendidikan sebagai asas atau pemangkin pembangunan modal insan, maka kerajaan tampil membantu golongan sasar tersebut.
Beliau menyatakan demikian pada Majlis Penyerahan Dua Buah Van Kepada MESEJ Kg Sapang, Kunak dan MESEJ Kg Balat, Kinabatangan di perkarangan bangunan KPLB Sabah, sini hari ini.
Turut hadir Pembantu Menteri KPLB Sabah, YB Harun Durabi, YB Samad Jambri, Pengerusi SLDB, Datuk Abdul Ghani Mohd Yassin, Setiausaha Tetap KPLB Sabah, Hj Faimin Kamin dan Pengurus Besar SLDB, Syaheddrul R Joddari.
Menurutnya, van bernilai RM191,000 sebuah itu merupakan sumbangan kerajaan negeri melalui KPLB Sabah bagi memberi kemudahan kepada lebih kurang 70 orang anak penduduk yang tinggal di MESEJ Balat dan MESEJ Sapang.
"Tujuannya adalah untuk memudahkan anak-anak keluarga golongan sasar agar tidak tercicir menimba ilmu disebabkan masalah pengangkutan atau bebanan kewangan bagi membayar tambang bas ke sekolah," jelas Jahid.
" Kita tidak mahu mendengar atau melihat anak-anak kita tidak dapat meneruskan persekolahan hanya semata-mata disebabkan tidak mampu membayar tambang bas sekolah atau tiada kenderaan," katanya.
Justeru beliau berharap, anak-anak tersebut, dengan pembelajaran dan kemudahan yang baik, akan terus maju dan cemerlang dalam bidang akademik demi masa depan yang lebih cerah.
"Kita akan pastikan supaya visi dan misi proses membasmi kemiskinan ini akan terus berjalan, semoga matlamat kita tercapai," katanya.
Selain itu, beliau sekali lagi menggesa agar liputan internet di kawasan luar bandar dapat diperluaskan dengan segera, agar rakyat dapat menikmati peluang sama seperti kawasan-kawasan yang menerima liputan jalur lebar yang lebih baik.
Simbolik penyerahan replika kunci van telah diterima oleh Pegawai Daerah Kinabatangan, Majaran Osman dan Pegawai Daerah Kunak, Abdul Manap Abd Ruhim.

Leave a reply

Share via
Copy link
Powered by Social Snap