Belanja dengan bijak di musim perayaan

KOTA KINABALU : Penaung Persatuan Pengguna Bijak Pantai Barat Sabah Datuk Amisah Yassin mengingatkan pengguna untuk bijak dalam berbelanja khasnya dalam membeli keperluan di musim perayaan, iaitu Tahun Baru Cina yang bakal tiba beberapa hari lagi.

Katanya, dalam situasi ekonomi semasa yang agak rumit, pengguna harus bijak dalam membezakan keperluan dan kehendak.

Datuk Amisah Yassin
Datuk Amisah Yassin

"Ekonomi kita berada pada tahap yang agak tidak begitu memberangsangkan, ramai kehilangan pekerjaan dan lain-lain lagi.

"Wajar untuk kita mengambil langkah berjaga-jaga dan tidak berbelanja tanpa meneliti sesuatu itu sebagai satu keperluan atau kehendak, kerana ia akan memberi kesan kepada kita kembali," katanya dalam satu kenyataan media disini hari ini.

Menurut Amisah, pengguna perlu bijak berbelanja dan tidak boleh mudah terpengaruh dengan ilustrasi iklan dan promosi jika ia mula melampaui batas kemampuan diri sendiri.

"Dalam suasana perayaan yang bakal tiba, pasti ada yang ingin berbelanja lebih daripada biasa, namun sentiasalah jadi pengguna bijak, utamakan perkara yang perlu, supaya kita tidak menyesal pada masa hadapan.

"Sesungguhnya pandemik COVID19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) amat menjejaskan kita semua dari pelbagai sudut, terutama dari segi ekonomi negara dan ekonomi keluarga kita," katanya lagi.

Amisah juga turut menyeru semua agar terus mematuhi SOP dan bertahan dalam melawan COVID19.

"Walaupun tidak dapat meraaikan sambutan Tahun Baru Cina seperti tahun-tahun lalu, meriah dengan majlis rumah terbuka, saling berkunjung, tarian singa dan lain-lain, namun itu tidak menjadi penghalang untuk jalinan persaudaraan terputus.

"Untuk ahli keluarga yang bersama dan berada berdekatan, pastinya boleh bersama menyambut perayaan Tahun Baru Cina walaupun dalam norma baharu,"tambahnya lagi.

David Chan
David Chan

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pengguna Bijak Pantai Barat Sabah David Chan turut menggesa para peniaga untuk tidak mengambil kesempatandengan menaikkan harga barang jualan terutamanya barang kawalan.

"Walaupun peniaga turut terkesan dan tertekan dengan kemerosotan jualan masa kini, namun, jangan sesekali mencalarkan integriti sebagai peniaga berhemah dan mengambil kesempatan ke atas pelanggan.

"Bukan sahaja peniaga akan dikenakan tindakan undang-undang jika berbuat demikian, malah pelanggan juga akan hilang kepercayaan," katanya.

Katanya lagi, menaikkan harga barang kawalan seperti telur, gula, tepung dan sebagainya adalah menjadi satu kesalahan dan boleh dikenakan kompaun jika sabit kesalahan.

“Justeru jangan menaikkan harga barang kawalan sesuka hati tanpa kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)," ujar David.

Share via
Copy link
Powered by Social Snap