KOTA KINABALU: Mengharungi era mencabar dibayangi ancaman virus Covid-19, Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) sedar akan kesukaran yang dihadapi oleh semua penggiat sukan khususnya atlet-atlet elit negeri dalam usaha mengekalkan kecergasan dan prestasi stamina ditahap tertinggi.
Sejajar itu, Kementerian Belia dan Sukan akan terus memberi sokongan terbaik ke atas program latihan atlet dan pasukan Sukan Malaysia (SUKMA) serta atlet PARA Sukma Sabah untuk memastikan kelangsungan perjuangan gigih mereka, kata menteri Datuk Ellron Angin dalam kenyataan.
"Kementerian sedar, terlalu banyak kekangan yang dihadapi para atlet negeri ini untuk berlatih dalam keadaan dan kemudahan terbaik serta latihan yang sempurna atau `full training’, dan ini ditambah lagi dengan penggunaan banyak pusat latihan atlet negeri yang telah dijadikan sebagai Pusat Kuarantin," katanya.
Menurutnya lagi, persediaan yang dilakukan tidak semudah mata memandang, kerana faktor keadaan dan kemudahan pastinya memberi tekanan yang besar bukan sahaja kepada atlet tetapi juga para jurulatih.
"Kemudahan latihan seperti gimnasium menjadi tidak lengkap apabila venue sedia ada terpaksa dipindahkan ke tempat baharu untuk memberi ruang kepada mereka yang diserang virus Covid-19.
"Selain itu, dengan penerapan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat, kos untuk melakukan latihan juga bertambah dan menelan belanja yang besar," kata Ellron.
Katanya lagi, latihan menerusi `Quarantine Base’ sebagaimana yang diumumkan oleh Kementerian ini pada 6hb Februari lalu, mengkehendaki semua pasukan untuk mewujudkan pusat penginapan khas yang mana tidak terdedah dengan aktiviti awam dan semua peserta tidak dibenar berinteraksi dengan pihak luar.
"Selain itu, perlu juga disediakan kenderaan khas untuk membawa mereka ke pusat latihan. Semua ini sudah tentu memerlukan bayaran sewa yang agak tinggi."
"Kementerian tahu, semua persatuan, pasukan, jurulatih, atlet mahupun ibu-bapa tidak pernah berputus asa dalam memastikan negeri Sabah terus menjadi antara pencabar yang digeruni di Sukma dan PARA Sukma 2022 di Johor nanti.
Kementerian berharap semua pihak akan terus tabah dan tidak mudah menyerah kalah terutama sekali dalam usaha bersama kita memerangi virus Covid-19 dan seterusnya menamatkan perebakan pandemik merbahaya ini.
"Kementerian ini memuji semua usaha yang telah dilakukan termasuk menjalankan latihan di dalam rumah, latihan `Quarantine Base’ yang mana pegawai, jurulatih dan atlet berkorban untuk tidak bersama atau bertemu keluarga untuk satu tempoh masa yang panjang, serta latihan secara `online’ yang mana jarang-jarang kita dengar," kata Ellron.
Latihan `online’ sedang dijalani oleh pasukan sepak takraw wanita Sabah yang mana jurulatih mereka kini berada di Negara Thai dan tidak dapat memasuki negeri ini. Mereka berlatih dengan menerima arahan dan pemantauan gerakan secara `online’. Semangat pasukan ini untuk berjaya dan mengangkat martabat sukan Sabah memang tidak dapat disangkal lagi, dan dalam masa yang sama membuktikan tiada yang mustahil selagi kita berusaha.
Leave a Reply