Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor (kiri) sedang berbincang dengan Datuk Bandar Noorliza Awang Alip (tengah), Datuk Abidin Madingkir (kanan), Datuk Yong Teck Lee (dua dari kanan) semasa melawat Sky Bridge

Kerajaan Sabah Luluskan Rm4.7 Juta Siapkan Projek Sky Bridge

KOTA KINABALU:  Kerajaan Negeri Sabah meluluskan sejumlah RM4.7 juta bagi menyiapkan projek Sky Bridge yang terhenti sejak 2018, selepas pemaju yang mengendalikan projek itu digulungkan.

Mengumumkan perkara itu selepas melawat tapak projek berkenaan hari ini, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Hj Noor mahu projek yang menghubungkan antara Oceanus, Api-Api Centre dan Asia City itu dapat disiapkan dengan segera.

“Kerja pembinaan akan bermula dalam masa terdekat ini dan ia dijangka siap pada pertengahan tahun ini.

“Kita tidak mahu projek Sky Bridge ini terbengkalai untuk selama-lamanya. Ia perlu disiapkan dengan cepat bagi memberi kemudahan dan keselamatan kepada orang awam,” katanya.

Projek yang bernilai RM31.5 juta itu dibiayai oleh Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Jabatan Perdana Menteri melalui Perjanjian Dana Mudahcara antara Kerajaan Malaysia dan, Bank Pembangunan Malaysia dan Sunsea Development Sdn Bhd pada 9 Februari 2017.

Menerusi perjanjian itu, Kerajaan Malaysia berhak menamatkan Dana Mudahcara itu sekiranya pemaju projek didapati muflis.

Pembinaan jejantas pejalan kaki dan kerja menaiktaraf infrastruktur di sekitarnya bermula pada 1 April 2017 dan dijadualkan siap dalam tempoh enam bulan (30 September 2017) tetapi kemudian dilanjutkan pada 30 April 2018.

Sunsea Development Sdn Bhd telah digulungkan pada 18 April 2018.

Kontraktor bertugas iaitu Petrofiq Sdn Bhd telah menghentikan kerja walaupun 90 peratus kerja-sudah disiapkan, dengan alasan mereka tidak menerima pembayaran.

Dalam lawatan itu, Ketua Menteri diiringi Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik, Datuk Yong Teck Lee dan Datuk Bandar Kota Kinabalu, Noorliza Awang Alip.

Leave a reply

Share via
Copy link
Powered by Social Snap