KOTA KINABALU: Transformasi penjawat awam dan agensi kerajaan khususnya Pengurusan Sumber Manusia (PSM) perlu dilaksanakan seiring dengan peredaran serta perkembangan teknologi masa kini.
Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (JPANS) Datuk (Datu) Rosmadi Sulai berkata, perubahan itu penting bagi memastikan perkhidmatan awam selaku tunggak utama pembangunan negara dapat mengatasi setiap kekangan mahupun cabaran dalam Revolusi Industri 4.0.

“PSM perlu pastikan sistem pengurusan dalam dan luar pejabat berkualiti, kerana di luar sana ada lagi pesaing yang turut menyediakan perkhidmatan sama kepada rakyat.
“Jadi, penambahbaikan serta pembaharuan hendaklah dibuat secara berpusat, dan kita perlu tengok sama ada modul masih releven atau tidak mengikut peredaran masa supaya tidak ketinggalan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan perutusan pada Persidangan Pengurus Sumber Manusia (PSM) Siri 1/2019, di sini baru- baru ini.
Jelas Rosmadi, setiap jabatan mahupun agensi kerajaan perlu mempunyai perancangan dan visi yang jelas bagi memastikan pengurusan dibuat dengan sistematik dan berkesan.

Katanya, ia termasuklah meningkatkan kualiti kerja dari semasa ke semasa dalam kalangan pekerja dibawah jagaan PSM masing- masing.
“Peranan ini adalah tanggungjawab PSM untuk membimbing sesama mereka agar saling lengkap melengkapi antara satu sama lain.
“PSM juga perlu jadi teladan yang baik untuk menjadi contoh kepada pekerja bawahan di lapangan mahupun pejabat,” katanya.

Selain itu, beliau menggesa warga PSM supaya turun padang menyebar dan mempromosi idea, serta menyelesaikan isu berkaitan komuniti setempat.
Katanya, ia bagi melahirkan pegawai PSM yang mempunyai kesiapsiagaan dalam mencipta inisiatif serta penambahbaikan baharu.

“Komitmen hendaklah mengatasi kepentingan diri dengan menanam sifat sentiasa memberi khidmat kepada pelanggan walaupun menjawat jawatan di peringkat atasan.
“PSM juga harus peka dengan keadaan sekeliling dengan mendengar rintihan masyarakat dan bukannya individu agar melahirkan kumpulan kerja yang jujur dan berintegriti,” katanya.
Terdahulu, seramai 87 pegawai PSM seluruh Sabah menyertai persidangan berkenaan yang berlangsung di salah sebuah resort dekat sini, pada Selasa.
Sebelah pagi, berlangsungnya tiga sesi forum mengenai topik pemodenan sistem kerja bayaran gaji dan elaun, pemantapan sahsiah dan integriti, dan kompetensi teras pengupayaan pegawai berprestasi tinggi.
Manakala, sebelah petang melibatkan mesyuarat PSM dengan membincangkan topik berkaitan Pelan Anti Rasuah Kebangsaan, penarafan bintang sistem maklumat sumber manusia, pelaksanaan dasar pemisah, dan isu PSM.
Tujuan program diadakan adalah untuk memperkukuhkan kerjasama sesama PSM, meningkatkan kemahiran dan pengetahuan mengurus sumber manusia, memberi motivasi kepada PSM untuk terus komited menggalas tugas, dan mencari jalan penyelesaian mengenai isu serta cabaran pengurusan dalam perkhidmatan awam negeri.
Hadir sama ialah Timbalan Pengarah JPANS (Pengurusan) Mohamad Osup dan Timbalan Pengarah (Pembangunan) Josie Lai Mei Sing serta barisan Ketua Penolong Pengarah (KPP) di setiap bahagian.
-tamat-